Monday, 4 March 2019

Kufu

Kufu atau sama taraf iaitu persamaan taraf antara suami isteri pada perkara-perkara tertentu. Kufu dikira penting untuk mewujudkan kebahagiaan rumah tangga, ketenteraman keluarga serta menjamin keteguhan ikatan perkahwinan suami isteri. Tanpa kufu kemungkinan besar kebahagiaan suami isteri akan terjejas atau musnah sama sekali.

Penilaian kufu ini dilihat atau diukur pada perkara-perkara berikut:

a) Keturunan
Orang Arab setaraf dengan orang Arab yang lain. Orang Ajam (bukan Arab) tidak setaraf dengan orang Arab dan orang Arab tidak setaraf dengan orang Quraisy.

b) Merdeka
Lelaki hamba tidak setaraf dengan wanita merdeka. Lelaki bekas hamba yang dimerdekakan tidak sekufu dengan wanita yang sejak asalnya mereka merdeka.

c) Islam
Lelaki dan wanita Islam hendaklah sama-sama keturunan dari orang Islam. Sedang wanita yang mempunyai ayah dan datuk-datuknya yang beragama Islam tidak sekufu dengan lelaki yang tidak mempunyai ayah dan datuk yang beragama Islam.

d) Pekerjaan
Wanita dari keturunan pekerja yang mulia tidak setaraf dengan lelaki yang bekerja dalam pekerjaan yang rendah mutunya.

e) Kekayaan
Wanita kaya tidak setaraf dengan lelaki yang miskin.
Orang yang berhak menentukan kufu atau tidak ialah wanita sendiri dan juga hak para walinya. Oleh itu para wali tidak boleh mengahwinkan orang yang di bawah perwaliannya dengan lelaki yang tidak setaraf kecuali dengan kerelaan wanita yang hendak dikahwinkan dan kerelaan seluruh para wali. Jika wanita yang hendak dikahwinkan dengannya rela dan para wali merelakannya, maka perkahwinan dikira sah.
     Sementara wanita yang hendak dikahwinkan dengan lelaki yang tidak setaraf dengannya tanpa kerelaannya dan tanpa kerelaan wali, maka ada yang berpendapat nikah tidak sah dan ada pula yang mengatakan sah tetapi boleh khiyar (hak memilih untuk melanjutkan atau membatalkan).


Menurut pendapat Ibnul Qayyim dan lain-lain ulamak pensyarahan kufu selain "agama dan akhlak" adalah bertentangan dengan dasar Islam dan bercirikan sifat-sifat jahiliyyah.