Yang Hendak Dipinang
Bagi mengekalkan jodoh dan kebahagiaan bagi kedua pasangan baik lelaki mahupun perempuan iaitu memerlukan persetujuan dan kerelaan kedua belah pihak yang terlibat. Persetujuan dan kerelaan kedua-duanya hanya akan lahir dengan tiap-tiap pihak yang berkenaan mengetahui dengan yakin tentang keadaan pasangannya, keperibadian dan akhlaknya. Oleh yang demikian syariat Islam meletakkan hukum sunat bagi kedua belah pihak melihat terlebih dahulu. Menurut sunnah iaitu al-Mughirah bin Syu'bah telah meminang seorang perempuan untuk dikahwininya. Rasulullah s.a.w. bertanya kepadanya, "Apakah engkau telah melihatnya?" Jawabnya, "Tidak," lalu junjungan bersabda:
Maksudnya: Lihatlah kepadanya kerana melihat itu lebih patut atau lebih kuat untuk mengekalkan (perkahwinan) kamu berdua.
Muhammad bin Salamah berkata "Aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Apabila Allah mendorong hati seseorang untuk meminang seseorang perempuan, jika dia boleh melihatnya sehingga mendorongnya untuk mengahwininya maka lakukanlah sedemikian".
Bahagian Anggota Yang Boleh Dilihat
Kebanyakan para ulamak membatasi anggota yang boleh dilihat hanyalah muka dan dua tapak tangan sampai ke pergelangan tangan, tidak boleh selain daripada itu. Dengan melihat muka dapat siketahui cantik atau tidaknya seseorang dengan melihat tangannya sampai ke pergelangannya dapat diketahui subur atau tidaknya badan seseorang. Para ulamak berpegang kepada firman Allah:
(Surah an-Nuur, ayat 31)
Iaitu ditafsirkan dengan "muka" dan "dua tapak tangan".
Walau bagaimanapun ada satu lagi pendapat yang dikira lebih wajar untuk diamalkan dan bersesuaian dengan tujuan perkahwinan iaitu seseorang yang boleh melihat wanita ang hendak dipinang dengan pakaian rumahnya yang halal dilihat oleh mahramnya yang lelaki. Pihak perempuan pun sunat melihat bakal suaminya pada bahagian yang selain aurat, kerana memberi peluang yang sama di antara bakal isteri dan suami.